Saturday, January 9, 2010

Penjelasan Isu Kalimah 'ALLAH'



Isu penggunaan nama Allah dalam agama lain selain agama Islam di Malaysia semakin hangat diperkatakan kini. Isu ini bermula apabila pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak menghalang penggunaaan kalimah ‘Allah’ dalam ruangan artikel mingguan kristian katolik , The Herald. Keadaan menjadi semakin kecoh apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa larangan KDN terhadap akhbar The Herald terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ tidak sah dan terbatal. Ini bermaksud apa-apa terbitan gereja katholik mahupun agama lain yang menggunakan kalimah ‘Allah’ dibenarkan. Keadaan inilah yang menimbulkan kemarahan dikalangan orang-orang Islam di Malaysia.

Dalam isu ini, pihak gereja katholik membuat tuntutan supaya dibenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam terbitan-terbitan mereka dengan alasan dan dakwaan bahawa kalimah Allah adalah terjemahan daripada perkataan God dalam Bible versi English mereka. Namun, apa yang menghairankan, sebelum ini pengamal agama Kristian katholik dan yahudi menyebut Tuhan dengan bahasa mereka sendiri. Persoalannya, apakah bahasa asal kitab mereka? Apa yang Pasti ialah bukan bahasa arab. Fakta sejarah mendedahkan bahasa asal Kitab Taurat ialah bahasa Hebrew manakala bahasa asal kitab Holy Bible adalah bahasa Greek. Kalimah Tuhan dalam bahasa Hebrew ialah El, Eloh dan Elohim manakala Tuhan dalam bahasa Greek ialah Theos atau Hotheos.

Bagi agama Islam pula, sungguhpun pengamal-pengamalnya terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum dan bahasa, mereka tetap menggunakan kalimah Allah yang merujuk pada Tuhan Yang Maha Esa. Ini kerana umat Islam merujuk pada kitab pegangan utamanya iaitu al-Quran yang menggunakan bahasa arab dan mereka tidak menterjemahkan Allah kepada apa-apa bahasa lain kerana Ia adalah nama yang khusus bagiNya antara nama-namaNya yang baik (asma Allahulhusna) dan mereka berpegang pada akidah tauhid. Umat Islam di seluruh dunia yang datang dari berbagai-bangai negara, bangsa dan penggunaan bahasa menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka. Persoalannya, Bagaimana pula dengan pegangan bagi pengamal kristian katholik yang ingin menggunakan kalimah Allah?. Akan dikupas mengenainya nanti.

Namun pada asasnya, tiada nas atau dalil dalam Islam yang melarang pengamal agama lain daripada menyebut dan menggunakan kalimah Allah. Islam mengakui bahawa orang-orang arab yang menganut pelbagai agama sama ada penganut agama yahudi, kristian dan penyembah berhala menyebut kalimah Allah sejak dahulu kala lagi. Terdapat banyak ayat-ayat dalam al-Quran yang menyatakan dan menceritakan tentang perihal ini.

Firman Allah:
“dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah Yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)

Firman Allah:
“dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah Yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, Bagaimana fikiran kamu tentang Yang kamu sembah Yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku Dengan sesuatu bahaya, Dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, Dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang Yang mahu berserah diri". (Surah az-Zumar: 38)

Terdapat banyak lagi ayat dalam al-Quran yang menjelaskan tentang pengakuan orang-orang arab terhadap rububiyyah Allah. Ayat-ayat tersebut menjelaskan bahawa semua penganut-penganut agama selain Islam jua mengaku dalam nalurinya wujudnya Tuhan bernama Allah dalam tauhid rububiyyah (ada Tuhan Yang Maha Pencipta). Namun kepercayaan sebegini masih tidak menepati hakikat makna Allah yang sebenarnya yang bermaksud supaya mengesakan Allah (dari sebarang perkara lain) dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya. Dalam erti kata lain, mereka masih tidak mempercayai dan menyakini tentang tauhid uluhiyyah (Tuhan Yang selayaknya disembah dan ditaati hanyalah) Allah.

Jadi, mengapa dikalangan penganut kristian katholik yang sebelum ini menyebut Tuhan dalam bahasa asal kitab mereka atau dengan perkataan God dan Lord bagi Bible versi English hendak sangat menggunakan kalimah Allah? Jika itulah mereka maknakan perkataan Allah dengan pegangan yang songsang dan syirik, maka itu tidak menepati pengertian sebenar hakikat kalimah Allah. Ini kerana, mereka mengamalkan dan mempercayai trinity (tiga dalam satu) iaitu mensifatkan Tuhan Yang Maha Esa itu dengan tiga sifat iaitu ada Anak Tuhan, Bapa Tuhan dan Tuhan Hantu (Holy Ghost). Kepercayaan kristian ini amat mengelirukan lagi mensyirikkan Allah. Maka apabila digunakan kalimah Allah dalam terjemahan kitab mereka, pasti akan menimbulkan kekeliruan dan percanggahan makna pada kalimah agong ini. Bagi agama lain pula, mereka menambah perlantikan Tuhan mengikut kepercayaan anutan masing-masing.

Mengikut ajaran Islam pula, Allah adalah salah satu nama daripada nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al-Asma Al-Husna). Terdapat ayat-ayat dalam al-Quran dan hadith yang menunjukkan kepada umat Islam dengan jelas cara-cara untuk menghadapi situasi apabila penganut agama lain menyebut dan menggunakan kalimah Allah. Sebagai contoh, dalam ayat al-Quran di atas dalam Surah az-Zumar ayat 38, Allah meminta Nabi Muhammad SAW secara khusus dan umat Islam secara amnya supaya memberi penjelasan kepada orang-orang musyrik bahawa kesalahan dan maksiat besar bagi mereka menyembah selain daripada Allah kerana sembahan mereka juga berupa makhluk yang tidak berkuasa menghalang dan memberi sesuatu. Kemudian dijelaskan juga bahawa tentang pegangan tauhid dimana hanya kepada Allah orang-orang Islam serahkan diri dan bertawakkal. Kita perlu memberi penjelasan kepada mereka secara ilmu bahawa penggunaan kalimah Allah bagi mereka yang percaya bahawa adanya sifat ketuhanan atau nama ketuhanan yang lain adalah tidak tepat dan tidak sampai pada maksud sebenar kalimah Allah.

Sebagai kesimpulannya, mengikut hukum asasnya dalam Islam berdasarkan dalil-dalil al-Quran, ada keharusan pengamal-pengamal agama samawi menggunakan kalimah Allah. Keharusan ini jika mereka menggunakan atau menyebut kalimah Allah sesama mereka sendiri seperti dalam amalan atau upacara agama mereka. Namun, dalam konteks kesesuaian siasah syari'ah negara Malaysia saya cenderung untuk bersetuju bahawa perlu ada larangan daripada pihak KDN atau kerajaan terhadap penggunaan Allah dalam bahan-bahan terbitan kristian yang boleh sampai kepengetahuan umum. Hal ini kerana, penggunaan kalimah Allah bagi penganut selain Islam iaitu kristian terutamanya akan menyebabkan ketegangan antara penganut agama. Unsur kemudharatan terhadap masyarakat Islam wajar kita elakkan dalam hal ini. -kupasan pendapat Dr. Zaharuddin Abd. Rahman.

Keadaan pendakwah bukan Islam yang galak menggunakannya dengan tujuan menyebarkan kepercayaan mereka perlu dikhuatiri. Lebih-lebih lagi dalam keadaan umat Islam sekarang yang ramai lemah pegangan agama mereka. Selain itu, kemunculan kumpulan bukan Islam yang menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa pada barangan mereka untuk berlindung disebalik jenama, untuk melariskan barangan atau untuk menghina namaNya yang suci sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam perlu dipertimbangkan. Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan kerajaan untuk melarang.

Beberapa Kisah Tentang Kelebihan Istighfar

Ada seorang lelaki berkata kepada Hasan al-Basri “Apakah seseorang tidak akan berasa malu terhadap Tuhannya? Bukankah dia melakukan perbuatan dosa lalu memohon keampunan kemudian mengulangi perbuatan dosa tersebut lalu memohon keampunan dan seterusnya? "Hasan al-Basri menjawab "Syaitan sentiasa dan sangat berharap dia berjaya menggodai kamu. Oleh itu jangan kamu meninggalkan istighfar untuk selama2nya”
  • Dalam Musnad Imam Abu Hanifah disebut sebuah riwayat dari Jabir bin Abdullah. Suatu hari ada orang datang berjumpa Rasulullah dan berkata “Wahai Rasulullah aku sama sekali belum diberi rezeki berupa anak dan aku tidak memiliki anak.” Rasulullah berkata “Apabila kamu memperbanyakkan istighfar dan sedekah, maka kamu akan diberi rezeki lantaran kedua-dua amalan tersebut.” Selepasitu, lelaki itu buat seperti yang disuruh Rasulullah SAW dan akhirnya dia dikurniakan 9 orang anak lelaki.
  • Dalam salah satu ceramah oleh Syeikh Aidh al-Qarni, beliau menceritakan bahawa ada seorang wanita mandul yang tidak boleh mempunyai anak. Semua doktor dan ubat-ubatan tidak berkesan. Wanita itu bertanya seorang ulama yang menyarankan kepadanya untuk perbanyakkan istighfar. Selepas wanita itu mengamalkannya dia kemudiannya dikurniakan anak.
  • Kisah Imam Ahmad bin Hambal dengan Pembuat Roti. Pada suatu malam Imam Ahmad pergi ke masjid untuk bermalam di masjid tetapi penjaga masjid tidak mengizinkannya. Dia pun kata “Aku akan tidur tepat di tempat pijakan tapak kakiku”. Seorang pembuat roti datang dan kasihan melihatnya dan menawarkan Imam Ahmad bermalam di rumahnya. Pembuat roti itu menjamunya. Ketika pembuat roti itu menguli roti, dia sentiasa beristighfar membuatkan Imam Ahmad merasa kagum. Esok subuh, Imam Ahmad bertanya kepada pembuat roti “Adakah engkau dapat hasil dengan istighfarmu itu?” (dia memang tahu kelebihan istighfar, sekadar bertanya faedah buat lelaki itu). Pembuat roti kata setakat ini semua yang didoanya tercapai kecuali satu iaitu niat untuk berjumpa Imam Ahmad.
Imam Ahmad kata “Akulah Imam Ahmad. Demi Allah aku benar2 ditarik ke sini untukmu.”

Wednesday, December 30, 2009

The Power Of Istighfar


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

ISTIGHFAR sering diertikan dengan permohonan ampun kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Ini sesuai dengan maksud kalimah ‘istighfar’ menurut bahasa. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan dan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfar yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Jika dilihat pada pengertian istighfar, maka tiada perbezaan antara istighfar dan taubat. Dari satu sudut, istighfar dan taubat mempunyai maksud yang sama iaitu kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Keduanya mempunyai persamaan dalam permohonan untuk menghapuskan apa yang tidak sepatutnya (dosa).

Hakikat istighfar dalam Islam adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sambil memohon ampun dari segala dosa.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan hamba-hambaNya supaya beristighfar sebagaimana firmanNya di dalam al-Qur’an:

“Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah adalah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi”
(Surah an-Nisaa:106)

Dalam ayat yang lain pula, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
“Dan pohonlah ampun bagi dosamu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Mu’min:55)


* Kelebihan Beristighfar…

Terdapat banyak fadhilat atau kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi sesiapa yang membaca dan mengamalkan istighfar. Di sini Allah ingin menunjukkan bahawa dengan menundukan hati dan jiwa atau merendahkan diri (tawaduk) kepada Yang Berhak di Taati dan Tundukkan diri Padanya, Dia selaku Khaliq akan membantu hamba-hambanya yang sedemikian dengan rahmatNya yang luas.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala ada menerangkan mengenai fadhilat beristighfar dalam beberapa ayat di dalam al-Qur’an, antaranya, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya:

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya, supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada kamu tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal saleh) akan pahala kelebihan itu.”
(Surah Hud: 3)

Ayat di atas menerangkan dengan beristighfar dan bertaubat kepadaNya, maka Allah akan memberi nikmat dengan kurniaanNya yang berupa keluasan rezeki dan kesenangan hidup serta tidak menimpakan azab kepada orang-orang yang beristighfar dan bertaubat kepadaNya.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga menjanjikan syurga bagi mereka yang memohon keampunan dan kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta menyesali atas segala perbuatannya sebagaimana dalam firmanNya:

Tafsirnya:
“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah – dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka pula kekal di dalamnya, dan demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.”
(Surah al-Imran: 135-136)


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

* Menurut Qatadah Rahimahullah: “Al-Qur’an menunjukkan kepada kamu tentang penyakit bagi kamu dan penyembuh (ubat) bagi kamu. Adapun penyakit bagi kamu adalah dosa dan penyembuh (ubat) bagi kamu adalah istighfar”.
* Berkata Sayyidina Ali Radhiallahu ‘anhu: “Satu keajaiban pada siapa yang binasa (kerana dosa), namun bersamanya penyelamat”. Ditanyakan kepadanya: “Apa dia (penyelamat itu)?” Beliau menjawab: “Istighfar”.

* Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam juga ada menerangkan tentang fadhilat istighfar, antaranya; Dalam sebuah hadis qudsi, (Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
Maksudnya:
“Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “Wahai anak Adam, jika engkau berdoa dan berharap padaKu, nescaya Aku mengampuni dosa-dosamu yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosamu mencapai awan sekalipun, kemudian engkau meminta ampun padaKu, nescaya Aku ampunkan engkau dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika engkau datang padaKu membawa dosa sepenuh bumi sekalipun, lalu engkau mendatangiKu tanpa menyekutukanKu dengan sesuatu, Aku akan mendatangimu dengan keampunan yang sepenuhnya”.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Busr Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alahi wassalam bersabda:
Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapati di dalam lembarannya (amalannya), bahawa amal istighfar (nya) begitu banyak.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa mereka yang sering mengamalkan istighfar akan mendapat keuntungan kerana besarnya kelebihan yang terdapat dalam lafaz istighfar. Keuntungan ini merupakan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya serta ganjaran atas ketaatan mereka kepadaNya.

Al-Aghar al-Muzani Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya tertutup hatiku, dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali.”
(Hadis riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis yang lain pula, Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya”.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Dari ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam di atas, maka dapat diambil kesimpulan bahawa fadhilat istighfar itu antaranya adalah:
1) Memperoleh keampunan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas segala dosa yang dilakukan samada sengaja atau tidak.
2) Menyenangkan hati dari kegelisahan dan gundah gulana kerana dosa yang dilakukan.
3) Mendekatkan diri kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala kerana istighfar bukan hanya terbatas kepada permohonan ampun saja tapi juga sebagai bukti ketaatan kepada Allah Subhanahu Ta‘ala dan untuk mencapai keredhaanNya.
4) Memperolehi perlindungan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada tipu daya serta hasutan syaitan kerana menghiasi lidah dengan istighfar merupakan salah satu perkara yang dibenci oleh syaitan.
5) Memelihara diri dari melakukan dosa atau kesalahan yang belum dilakukan kerana dengan istighfar dapat membersihkan hati dari lalai dan lupa akan tanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan apa yang dilarangNya.
6) Memperoleh keutamaan dan anugerah dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala berupa nikmat bagi sesiapa yang mengamalkannya seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah.

Sumber:http://ahmadzaki.wordpress.com/2008/09/29/kelebihan-istighfar/ dan http://nurjeehan.wordpress.com

**Buat Renungan, sebagai pedoman....
Mudah-mudahan tulisan ini dapat memberikan kesedaran kepada penulis sendiri dan pembaca sekalian dalam melayari kehidupan di ’alam syahadah’ ini yang penuh dengan ujian. Sememangnya bagi setiap diri seorang manusia itu, Allah telah menetapkan ujian-ujian yang tertentu bagi mereka. Boleh jadi, kekurangan dan kelemahan kita itu juga merupakan ujian yang akan mendidik kita untuk menjadi seorang insan yang lebih baik dan sempurna dari yang sebelumnya. Namun persoalannya, sejauh manakah kita kembali dan mengadu kepada Allah dalam menghadapinya?.. Penulis amat berharap agar diri penulis sendiri dan saudara saudari pembaca sekalian tidak terus berpaling dari Allah andai sekali tersasar dari landasan syariatnya.. Ingatlah... ”Beradanya kita di dunia ini ada tujuannya yang ditetapkan oleh Khaliq selaku pencipta dan pengatur dan kita ada Tuhan untuk ditaati, disembah, tempat mengadu dan kembali”...