Wednesday, December 30, 2009

The Power Of Istighfar


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

ISTIGHFAR sering diertikan dengan permohonan ampun kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Ini sesuai dengan maksud kalimah ‘istighfar’ menurut bahasa. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan dan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfar yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Jika dilihat pada pengertian istighfar, maka tiada perbezaan antara istighfar dan taubat. Dari satu sudut, istighfar dan taubat mempunyai maksud yang sama iaitu kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Keduanya mempunyai persamaan dalam permohonan untuk menghapuskan apa yang tidak sepatutnya (dosa).

Hakikat istighfar dalam Islam adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sambil memohon ampun dari segala dosa.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan hamba-hambaNya supaya beristighfar sebagaimana firmanNya di dalam al-Qur’an:

“Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah adalah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi”
(Surah an-Nisaa:106)

Dalam ayat yang lain pula, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
“Dan pohonlah ampun bagi dosamu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Mu’min:55)


* Kelebihan Beristighfar…

Terdapat banyak fadhilat atau kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi sesiapa yang membaca dan mengamalkan istighfar. Di sini Allah ingin menunjukkan bahawa dengan menundukan hati dan jiwa atau merendahkan diri (tawaduk) kepada Yang Berhak di Taati dan Tundukkan diri Padanya, Dia selaku Khaliq akan membantu hamba-hambanya yang sedemikian dengan rahmatNya yang luas.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala ada menerangkan mengenai fadhilat beristighfar dalam beberapa ayat di dalam al-Qur’an, antaranya, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya:

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya, supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada kamu tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal saleh) akan pahala kelebihan itu.”
(Surah Hud: 3)

Ayat di atas menerangkan dengan beristighfar dan bertaubat kepadaNya, maka Allah akan memberi nikmat dengan kurniaanNya yang berupa keluasan rezeki dan kesenangan hidup serta tidak menimpakan azab kepada orang-orang yang beristighfar dan bertaubat kepadaNya.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga menjanjikan syurga bagi mereka yang memohon keampunan dan kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta menyesali atas segala perbuatannya sebagaimana dalam firmanNya:

Tafsirnya:
“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah – dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka pula kekal di dalamnya, dan demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.”
(Surah al-Imran: 135-136)


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

* Menurut Qatadah Rahimahullah: “Al-Qur’an menunjukkan kepada kamu tentang penyakit bagi kamu dan penyembuh (ubat) bagi kamu. Adapun penyakit bagi kamu adalah dosa dan penyembuh (ubat) bagi kamu adalah istighfar”.
* Berkata Sayyidina Ali Radhiallahu ‘anhu: “Satu keajaiban pada siapa yang binasa (kerana dosa), namun bersamanya penyelamat”. Ditanyakan kepadanya: “Apa dia (penyelamat itu)?” Beliau menjawab: “Istighfar”.

* Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam juga ada menerangkan tentang fadhilat istighfar, antaranya; Dalam sebuah hadis qudsi, (Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
Maksudnya:
“Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “Wahai anak Adam, jika engkau berdoa dan berharap padaKu, nescaya Aku mengampuni dosa-dosamu yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosamu mencapai awan sekalipun, kemudian engkau meminta ampun padaKu, nescaya Aku ampunkan engkau dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika engkau datang padaKu membawa dosa sepenuh bumi sekalipun, lalu engkau mendatangiKu tanpa menyekutukanKu dengan sesuatu, Aku akan mendatangimu dengan keampunan yang sepenuhnya”.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Busr Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alahi wassalam bersabda:
Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapati di dalam lembarannya (amalannya), bahawa amal istighfar (nya) begitu banyak.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa mereka yang sering mengamalkan istighfar akan mendapat keuntungan kerana besarnya kelebihan yang terdapat dalam lafaz istighfar. Keuntungan ini merupakan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya serta ganjaran atas ketaatan mereka kepadaNya.

Al-Aghar al-Muzani Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya tertutup hatiku, dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali.”
(Hadis riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis yang lain pula, Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya”.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Dari ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam di atas, maka dapat diambil kesimpulan bahawa fadhilat istighfar itu antaranya adalah:
1) Memperoleh keampunan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas segala dosa yang dilakukan samada sengaja atau tidak.
2) Menyenangkan hati dari kegelisahan dan gundah gulana kerana dosa yang dilakukan.
3) Mendekatkan diri kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala kerana istighfar bukan hanya terbatas kepada permohonan ampun saja tapi juga sebagai bukti ketaatan kepada Allah Subhanahu Ta‘ala dan untuk mencapai keredhaanNya.
4) Memperolehi perlindungan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada tipu daya serta hasutan syaitan kerana menghiasi lidah dengan istighfar merupakan salah satu perkara yang dibenci oleh syaitan.
5) Memelihara diri dari melakukan dosa atau kesalahan yang belum dilakukan kerana dengan istighfar dapat membersihkan hati dari lalai dan lupa akan tanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan apa yang dilarangNya.
6) Memperoleh keutamaan dan anugerah dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala berupa nikmat bagi sesiapa yang mengamalkannya seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah.

Sumber:http://ahmadzaki.wordpress.com/2008/09/29/kelebihan-istighfar/ dan http://nurjeehan.wordpress.com

**Buat Renungan, sebagai pedoman....
Mudah-mudahan tulisan ini dapat memberikan kesedaran kepada penulis sendiri dan pembaca sekalian dalam melayari kehidupan di ’alam syahadah’ ini yang penuh dengan ujian. Sememangnya bagi setiap diri seorang manusia itu, Allah telah menetapkan ujian-ujian yang tertentu bagi mereka. Boleh jadi, kekurangan dan kelemahan kita itu juga merupakan ujian yang akan mendidik kita untuk menjadi seorang insan yang lebih baik dan sempurna dari yang sebelumnya. Namun persoalannya, sejauh manakah kita kembali dan mengadu kepada Allah dalam menghadapinya?.. Penulis amat berharap agar diri penulis sendiri dan saudara saudari pembaca sekalian tidak terus berpaling dari Allah andai sekali tersasar dari landasan syariatnya.. Ingatlah... ”Beradanya kita di dunia ini ada tujuannya yang ditetapkan oleh Khaliq selaku pencipta dan pengatur dan kita ada Tuhan untuk ditaati, disembah, tempat mengadu dan kembali”...

Tuesday, December 22, 2009

Kelebihan bulan Muharram dan hari Assyura


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Muharram merupakan bulan pertama mengikut kiraan tahun Hijrah. Ini menunjukkan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad dan umat Islam muhajirin dari kota Makkah Ke Yathrib dijadikan ’peristiwa sandaran’ atau titik tolak bermulanya perkiraan tahun dalam islam. Berhijrahnya mereka adalah untuk berpindah daripada kezaliman dan kejahatan musyrikin Makkah ke Yathrib, kota yang memberi sinar harapan yang baru kepada pembangunan islam dan umat islam. Disinilah membangunnya, ’Kota Madinah al-Munawwarah’ kerajaan berperlembagaan Islam yang pertama yang menjadi sandaran pada kerajaan-kerajaan islam seterusnya malah dunia seluruhnya....
Atas maksud itu kita juga perlu berhijrah. Hijrah di sini bermaksud berubah daripada melakukan kejahatan kepada kebaikan, daripada berakhlak buruk kepada berakhlak mulia, daripada tidak bertaqwa kepada bertqwa kepada Allah. Hijrah sebegini akan terus berkekalan sehingga hari kiamat. Sabda Nabi saw : “Orang yang melakukan hijrah yang sebenar ialah yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah”. ( Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Sambutan Ma’al Hijrah yang diadakan dengan penuh semangat dan pelbagai acara akan menjadi sia-sia dan tidak berfaedah sekiranya ia tidak disusuli dengan perubahan sikap dalam diri setiap individu muslim ke arah yang lebih baik.

Dalam bulan Muharam terdapat kelebihan yang dimasyhurkan dengan hari Asyura. Asyura bererti hari kesepuluh daripada bulan Muharam, sementara hari kesembilan dikenali dengan hari Tasu'a. Barang siapa yang berpuasa sunat di kedua-kedua hari tersebut, diberi pahala yang banyak oleh Allah s.w.t. di akhirat kelak.
tujuh puluh kali pada hari Asyura. Di antara kelebihan hari Asyura:
• Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa barang siapa yang berpuasa pada hari Asyura, Allah akan memberi pahala seumpama 10,000 haji dan umrah dan 10.000 orang syahid. Sunat pula bagi orang yang berpuasa membanyakkan sedekah kepada anak-anak yatim dan tangannya menyapu kepada anak yatim, nescaya Allah mengangkat darjatnya ke syurga kelak.
• Pada hari Asyura, Allah menjadi-kan tujuh petala langit dan bumi, bukit-bukau, bintang-bintang di tangit, Loh dan Qalam, Bapa manusia Adam a.s. dan ibu Hawa serta memasukkan keduanya di syurga.
• Nabi Ibrahim a.s. juga diputerakan dan diselamatkan dari dibakar api kekejaman Raja Namrud pada hari itu.
• Taubat Nabi Adam a.s. diterima
• Dibukakan bala bagi Nabi Ayub
• Diampun dosa Nabi Daud a.s.,kerajaan Nabi Allah Sulaiman dikembalikan.
• Tenggelamnya Firaun dan terselamatnya bahtera Nabi Noh a.s.

Demikianlah keistimewaan dan kelebihan bulan Muharam dan hari Asyura. Dalam riwayat yang lain umat Islam disuruh **membanyakkan beramal pada hari Asyura seperti perkara-perkara sunat: sembahyang, puasa, sedekah, mandi, ziarah orang-orang alim, orang sakit, menyapu kepala anak yatim, membuat jamuan kenduri kepada keluarganya,' memotong kuku, bercelak, membaca surat Ikhias banyak-banyak,menghubungkan silatur rahim jiran tetangga sanak saudara.
Amalan-amalan tersebut di atas mempunyai pahala yang banyak dan sangat tinggi nilainya, semua ini digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.. mengambil sempena peristiwa-pe-ristiwa yang pernah dialami samaada pahit maungnya, duka jayanya berhijrah dari Mekah ke Madinah, dan Nabi-nabi yang lain juga ditimpa duka dan jayanya dalam bulan Mu-haram dan hari Asyura yang tersebut.

Mengingat kelebihan hari Asyura atau hari kesepuluh ini. dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Allah s.w.t. telah memilih tiga macam sepuluh dalam setahun iaitu, sepuluh yang akhir bulan Ramadan yang dimasyhurkan dengan amalan malam LailatuI Qadar, sepuluh Zulhijah yang dimasyhurkan dengan amalan hari Tarwiah dan Arafah serta korban atau menyembelih binatang-binatang ternakan untuk tujuan bertaqarrub kepada Allah, dan sepuluh hari Asyura yang mana peistiwanya pernah dialami oleh para nabi sejak nabi Adam a,s. hingga kepada Baginda Rasutullah s.a.w.
Oleh itu kepada umat Islam sekalian, marilah kita beramal semoga beroleh pahala ganjaran sepertimana yang telah diperoleh oleh para Rasul dan nabi-nabi yang lampau.
- al-fikrah.net & SERIBU WARNA PELANGI

Hijrah, ke mana kamu berhijrah wahai ummah?

Alhamdulillah, kita telah masuk ke tahun baru, 1431H. Macam-macam orang ucap, itu dan ini. Semuanya seputar azam baru di tahun yang baru. Berniat hendak mejadi lebih baik, berniat untuk mempertingkatkan diri.

Tetapi, semua ini hanya akan menjadi seperti debu sahaja, andai ia dilakukan semata-mata kerana melepasi sebuah tahun. 1 Muharram, 1001 azam baru muncul dan wujud. 1 Januari, sekali lagi 1001 azam baru muncul. Namun, apakah azam-azam ini diiringi dengan perancangan? Atau sebut-sebutan dari omongan?

Ke arah mana kita berhijrah hakikatnya?

Menjadi hamba Ilahi Yang Berkuasa, atau hakikatnya berhijrah dalam lingkungan perhambaan di dalam dunia juga?

Ke arah mana?


Iman terjemahannya amal, cita-cita terjemahannya perancangan

Amat pelik untuk saya, orang-orang berazam tetapi tidak pula merancang cara untuk meggapai azamnya. Begitulah juga manusia-manusia yang sibuk bercakap berkenaan Palestin, tetapi tiada perancangan rapi untuk membebaskannya.

Kita sudah penat dengan omongan kosong.

Dunia tidak akan tertawan hanya dengan bicara. Sebuah negara hanya bisa ditakluk dengan usaha. Bukan usaha semberono, tetapi usaha yang penuh dengan perancangan yang bersungguh-sungguh.

Merancang adalah bukti kita punya matlamat yang jelas. Kita nampak ke mana kita hendak berakhir, apa yang kita mahu, dan apa yang kita hendak gapai, maka kita merancang, langkah demi langkah agar kita mampu mencapai apa yang kita harapkan.

Di sinilah baru berlakunya peningkatan. Kita tahu di mana kita hendak berehat, kita sedar di mana kita kejatuhan, dan kita akan nampak apa yang perlu kita muhasabahkan. Dengan perancangan, apabila kita tiba ke titik-titik tertentu, kita akan mampu menaik secara berkadar terus dengan kehidupan, bukannya turun dan naik dengan mengikut keadaan.

Apakah kita merancang wahai diri yang kini menyatakan 1001 azam?


Dunia bukan untuk bermain-main

Dunia ladang akhirat. Kita semua tahu. Setiap amal baik dan buruk akan dihitung walau sebesar zarah. Kita semua tahu. Allah berfirman dalam Surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8, maksudnya:

dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

7. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya) 8.

Maka dengan pengetahuan kita ini, apakah kita menyangka dunia ini boleh kita lalui dengan bermain-main sahaja?

Kita tahu hari ini ummat Islam tertindas, kita sedar hari ini musuh-musuh Allah amat hebat, kita nampak betapa kita hari ini lemah, kita faham betapa jauhnya kita hari ini dengan Allah SWT, maka apakah yang telah kita usahakan?

Adakah cukup dengan kata-kata dan penulisan?

“Salam ma’al hijrah, semoga lebih baik”

“Semoga meningkat”

“Harap tahun ini lebih baik”

Kita sebut dengan kefahaman dan terjemahan amal, atau sekadar mengisi ruang kegembiraan satu sambutan? Kita hakikatnya mahu, setiap perbuatan kita, gerak geri kita memberikan kesan kepada pembangunan ummah. Kita tidak mahu kehidupan yang sia-sia.

Kita tidak hadir ke dunia ini untuk hanya bermain-main sahaja.


Lihatlah ke arah mana mereka berhijrah

Menelusuri kisah hijrah para sahabat, pasti kita melihat betapa kita merentas tahun hijrah ini hanya dengan bermain-main sahaja.

Peristiwa Hijrah dalam Islam punya makna yang besar. Bukan merentas tahun, tetapi merentas sahara untuk menyelamatkan iman. Bagaimana pula mereka berhijrah? Adakah dengan segala kemewahan? Tidak.

*Suhaib Ar-Rumi RA, seoran hartawan yang terkenal dengan kekayaannya. Awalnya dia berhijrah dengan seluruh hartanya. Di tengah perjalanan, dia berjaya ditahan pihak Musyrikin Makkah. Mereka hendak membawanya pulang, menghalangnya dari meneruskan hijrah. Lantas Suhaib Ar-Rumi berkata:

“Apakah kalau aku tinggalkan semua hartaku di sini, maka kamu akan membenarkan aku pergi?”

Dan dia meninggalkan seluruh hartanya.

Saya ulang, dia meninggalkan seluruh hartanya. Untuk apa?

Untuk hijrahnya kepada Allah SWT, untuk menyelamatkan keimanannya. Dia sanggup megorbankan seluruh hartaya. Kerana dia jelas, dia berhijrah ke arah Allah SWT Yang Maha Kaya, Yang Berkuasa Atas Segala-galanya.

*Abdurrahman bin Auf, seorang lagi hartawan terkenal. Dia awal-awal lagi bergerak keluar dari Makkah dengan sehelai sepinggang. Langsung tidak membawa hartanya. Sehingga di Madinah terpaksa memulakan perniagaanya dari aras bawah semula.

Begitu juga hartawan lain seperti *Abu Bakr, Uthman da lain-lain yang mengikuti Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri bersabung nyawa di dalam peristiwa hijrah ini.

Begitu juga *Saidina Ali bin Abu Talib RA yang sanggup menggantikan Rasulullah SAW di kamar baginda.

Pernahkah anda tertanya-tanya, atas dasar apakah mereka sanggup berkorban sedemikian rupa?

Kerana mereka benar-benar jelas akan penghijrahan mereka.

Mereka berhijrah kepada Allah SWT.

Keimanan mereka, keyakinan mereka membuatkan mereka sanggup mengorbankan segalanya, asalkan penghijrahan mereka kepada Allah SWT itu berjalan lancar.


“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” Riwayat Bukhari dan Muslim.


Maka, apakah yang telah kita korbankan, andai benar penghijrahan kita kepada Allah SWT?

Atau sebenarnya, hijrah kita bukannya kepada Allah SWT, sebab itu kita tidak mengorbankan apa-apa? Sebab itulah kita tidak merancang apa-apa?

Jika benar, maka kita ini tidak berhijrah sebenarnya.


Penutup: Tiada Lagi Hijrah Selepas Itu, Selain Perjuangan Ke Arah Kebaikan

Rasulullah SAW bersabda pada hari pembukaan kota Makkah:

“Tiada lagi Hijrah selepas pembukaan ini kecuali kerana jihad dan niat yang baik, dan sekiranya diperintahkan supaya keluar untuk berjihad dan melaksanakan kebaikan, maka keluarlahRiwayat Bukhari.


Maka bergeraklah kepada kebaikan, jangan lengah. Bergerak dengan sistematik tanpa goyah. Keraskanlah diri menghadapi segala ujian agar tidak tergoncang. Korbankan apa yang patut dikorbankan, kaut apa yang patut dikaut.

Kenapa kita mesti redha dengan diri kita penuh dosa hari ini? Kenapa kita mesti rasa tidak mengapa degan kelemahan kita hari ini? Kenapa kita mesti tunduk pada kezaliman dan kehinaan dunia kepada kita hari ini?

Maka bangkitlah, ubah segalanya, bermula dengan diri sendiri.

Jangan sekali mengungkap berubah itu, berubah ini, meningkat itu, meningkat ini, dengan kalam-kalam kosong tanpa perancangan. Kita tidak mahu bermain-main, kita bukan hamba tradisi. Kita hamba Ilahi.

Bergeraklah. Bergerak dengan serius.

Berhijrahlah, berhijrah dengan perancangan dan usaha yang tulus.

Dipetik daripada: Langit Ilahi

Monday, December 21, 2009


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini