Wednesday, December 30, 2009

The Power Of Istighfar


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

ISTIGHFAR sering diertikan dengan permohonan ampun kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Ini sesuai dengan maksud kalimah ‘istighfar’ menurut bahasa. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan dan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfar yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Jika dilihat pada pengertian istighfar, maka tiada perbezaan antara istighfar dan taubat. Dari satu sudut, istighfar dan taubat mempunyai maksud yang sama iaitu kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Keduanya mempunyai persamaan dalam permohonan untuk menghapuskan apa yang tidak sepatutnya (dosa).

Hakikat istighfar dalam Islam adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sambil memohon ampun dari segala dosa.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan hamba-hambaNya supaya beristighfar sebagaimana firmanNya di dalam al-Qur’an:

“Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah adalah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi”
(Surah an-Nisaa:106)

Dalam ayat yang lain pula, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
“Dan pohonlah ampun bagi dosamu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Mu’min:55)


* Kelebihan Beristighfar…

Terdapat banyak fadhilat atau kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi sesiapa yang membaca dan mengamalkan istighfar. Di sini Allah ingin menunjukkan bahawa dengan menundukan hati dan jiwa atau merendahkan diri (tawaduk) kepada Yang Berhak di Taati dan Tundukkan diri Padanya, Dia selaku Khaliq akan membantu hamba-hambanya yang sedemikian dengan rahmatNya yang luas.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala ada menerangkan mengenai fadhilat beristighfar dalam beberapa ayat di dalam al-Qur’an, antaranya, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya:

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya, supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada kamu tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal saleh) akan pahala kelebihan itu.”
(Surah Hud: 3)

Ayat di atas menerangkan dengan beristighfar dan bertaubat kepadaNya, maka Allah akan memberi nikmat dengan kurniaanNya yang berupa keluasan rezeki dan kesenangan hidup serta tidak menimpakan azab kepada orang-orang yang beristighfar dan bertaubat kepadaNya.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga menjanjikan syurga bagi mereka yang memohon keampunan dan kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta menyesali atas segala perbuatannya sebagaimana dalam firmanNya:

Tafsirnya:
“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah – dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka pula kekal di dalamnya, dan demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.”
(Surah al-Imran: 135-136)


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

* Menurut Qatadah Rahimahullah: “Al-Qur’an menunjukkan kepada kamu tentang penyakit bagi kamu dan penyembuh (ubat) bagi kamu. Adapun penyakit bagi kamu adalah dosa dan penyembuh (ubat) bagi kamu adalah istighfar”.
* Berkata Sayyidina Ali Radhiallahu ‘anhu: “Satu keajaiban pada siapa yang binasa (kerana dosa), namun bersamanya penyelamat”. Ditanyakan kepadanya: “Apa dia (penyelamat itu)?” Beliau menjawab: “Istighfar”.

* Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam juga ada menerangkan tentang fadhilat istighfar, antaranya; Dalam sebuah hadis qudsi, (Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
Maksudnya:
“Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “Wahai anak Adam, jika engkau berdoa dan berharap padaKu, nescaya Aku mengampuni dosa-dosamu yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosamu mencapai awan sekalipun, kemudian engkau meminta ampun padaKu, nescaya Aku ampunkan engkau dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika engkau datang padaKu membawa dosa sepenuh bumi sekalipun, lalu engkau mendatangiKu tanpa menyekutukanKu dengan sesuatu, Aku akan mendatangimu dengan keampunan yang sepenuhnya”.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Busr Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alahi wassalam bersabda:
Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapati di dalam lembarannya (amalannya), bahawa amal istighfar (nya) begitu banyak.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa mereka yang sering mengamalkan istighfar akan mendapat keuntungan kerana besarnya kelebihan yang terdapat dalam lafaz istighfar. Keuntungan ini merupakan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya serta ganjaran atas ketaatan mereka kepadaNya.

Al-Aghar al-Muzani Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya tertutup hatiku, dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali.”
(Hadis riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis yang lain pula, Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya”.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Dari ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam di atas, maka dapat diambil kesimpulan bahawa fadhilat istighfar itu antaranya adalah:
1) Memperoleh keampunan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas segala dosa yang dilakukan samada sengaja atau tidak.
2) Menyenangkan hati dari kegelisahan dan gundah gulana kerana dosa yang dilakukan.
3) Mendekatkan diri kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala kerana istighfar bukan hanya terbatas kepada permohonan ampun saja tapi juga sebagai bukti ketaatan kepada Allah Subhanahu Ta‘ala dan untuk mencapai keredhaanNya.
4) Memperolehi perlindungan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada tipu daya serta hasutan syaitan kerana menghiasi lidah dengan istighfar merupakan salah satu perkara yang dibenci oleh syaitan.
5) Memelihara diri dari melakukan dosa atau kesalahan yang belum dilakukan kerana dengan istighfar dapat membersihkan hati dari lalai dan lupa akan tanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan apa yang dilarangNya.
6) Memperoleh keutamaan dan anugerah dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala berupa nikmat bagi sesiapa yang mengamalkannya seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah.

Sumber:http://ahmadzaki.wordpress.com/2008/09/29/kelebihan-istighfar/ dan http://nurjeehan.wordpress.com

**Buat Renungan, sebagai pedoman....
Mudah-mudahan tulisan ini dapat memberikan kesedaran kepada penulis sendiri dan pembaca sekalian dalam melayari kehidupan di ’alam syahadah’ ini yang penuh dengan ujian. Sememangnya bagi setiap diri seorang manusia itu, Allah telah menetapkan ujian-ujian yang tertentu bagi mereka. Boleh jadi, kekurangan dan kelemahan kita itu juga merupakan ujian yang akan mendidik kita untuk menjadi seorang insan yang lebih baik dan sempurna dari yang sebelumnya. Namun persoalannya, sejauh manakah kita kembali dan mengadu kepada Allah dalam menghadapinya?.. Penulis amat berharap agar diri penulis sendiri dan saudara saudari pembaca sekalian tidak terus berpaling dari Allah andai sekali tersasar dari landasan syariatnya.. Ingatlah... ”Beradanya kita di dunia ini ada tujuannya yang ditetapkan oleh Khaliq selaku pencipta dan pengatur dan kita ada Tuhan untuk ditaati, disembah, tempat mengadu dan kembali”...

No comments:

Post a Comment